‘Saarani tidak faham, cuba mengeruhkan suasana’ – KP BERSATU Perak

IPOH 15 Feb. – Penerangan BERSATU Perak melihat tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menyentuh soal kerusi dalam pilihan raya umum sebagai usaha cuba mengeruhkan suasana.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Perak yang juga Ketua Bahagian Taiping, Kader Maideen Hussain berkata, ia juga seolah-olah memperlihatkan Saarani tidak memahami kedudukan dan politik masa kini.

Jelasnya, sebagai seorang pemimpin Saarani sepatutnya bercakap berlandaskan agama Islam.

Tegas beliau, Saarani juga perlu ingat bahawa beliau menjadi Menteri Besar juga atas sokongan BERSATU.

“Kita tidak perlu hendak berebut kerusi dalam PRU. Sekarang ini bukan masa PRU. Boleh sahaja selesai di meja rundingan.

“Saya melihat Saarani cuba `menjolok’ isu ini dan hendak melihat apa pemimpin BERSATU beri maklum balas.

“Untuk pengetahuan Saarani, kita  (BERSATU) boleh sahaja menjawab isu yang Saarani bangkitkan. Tapi kita (BERSATU) akur dengan kepemimpinan atasan (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Kalau kita hendak jawab isu dibangkitkan Saarani, pasti ramai yang boleh bersuara tapi itu bukan cara kita,’’ katanya.

Saarani baru-baru ini memberi kata dua kepada BERSATU supaya tidak bertanding di kerusi yang dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal ditandingi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *