Perpaduan Negara Wajar Bersandarkan Semangat Kebangsaan

Pelancaran Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini adalah tepat pada waktunya demi keharmonian dan perpaduan kaum.

Kita wajar akui sebahagian rakyat Malaysia hari ini berada dalam krisis identiti, ada yang skeptikal terhadap masa depan negara, dan tidak kurang juga yang keliru dengan situasi sosiopolitik tempatan yang dilihat terlampau dinamik.

Ia diparahkan lagi oleh elemen-elemen perkauman, kenegerian dan agama yang masih menjadi barah dalam hubungan kaum masyarakat kita.

Adalah wajar Perdana Menteri memberi peringatan mengenai bahayanya sentimen-sentimen negatif yang berpotensi merosakkan keutuhan warga negara ini.

Kita tidak mahu Malaysia menuju ke arah sektarianisme (asobiyyah) mengikut ideologi politik, ekstremisme agama, perkauman dan juga ketaksuban terhadap negeri masing-masing.

Oleh itu, adalah wajar jika konsep perpaduan negara ini menjadikan semangat kebangsaan (nasionalisme) seperti yang terpahat dalam Rukun Negara sebagai asas dan paksinya.

Semangat cintakan tanah air bukanlah sesuatu yang boleh dipupuk dari sekolah semata-mata. Ia sebenarnya berasal dari didikan di rumah sejak kecil.

Jika sesebuah keluarga itu dididik untuk hanya `menyembah wang, maka wanglah yang menjadi percaturan utama dalam hidup mereka.

Bangsa-bangsa yang maju di dunia pada hari ini termasuk tamadun-tamadun hebat di zaman silam boleh dikatakan semuanya kerana mempunyai semangat patriotism atau nasionalisme yang tinggi terhadap negara dan empayar masing-masing.

Tidak kisah apa jua pegangan kita, perpaduan dan keutuhan negara adalah keutamaan dalam mendepani cabaran semasa. Malaysia sebagai negara majmuk yang mempraktikkan sistem persekutuan amat bergantung kepada kerjasama semua negeri, kaum dan parti politik dalam membangunkan serta mensejahterakan negara ini.

Kestabilan sosiekonomi adalah kunci kepada keharmonian masyarakat bagi mengelakkan sebarang bentuk keadaan huru-hara serta kemunculan kelompok yang menggunakan pendekatan ekstrem untuk memperjuangkan agenda mereka.

Perlu kita jenguk dan menginsafi kisah perang saudara di Bosnia-Herzegovina yang amat tragis suatu ketika dahulu. Ia bermula apabila perginya pemimpin ulung negara tersebut Josip Briz Tito pada tahun 1980. Ketika itu Bosnia merupakan salah satu negeri dalam Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia. Sungguhpun satu rumpun dan boleh dikira sebangsa, namun etnik Bosnia (Muslim Bosnia), Croat (majoriti Katolik) dan Serb (majoriti Kristian Ortodoks) akhirnya terjerumus ke kancah konflik perkauman akibat dari kemelesatan ekonomi negara tersebut pada tahun 80-an, yang kemudiannya memuncak kepada perang saudara berskala besar di awal tahun 90-an.

Republik Yugoslavia akhirnya runtuh menjadi negara-negara yang berpisah seperti Bosnia, Croatia dan Serbia.

Namun apakah jalan ke hadapan bagi Malaysia untuk mengelakkan negara kita ditimpa musibah yang sama seperti Bosnia?

Jawapannya ialah pentingnya pengukuhan semangat nasionalisme di negara kita melalui pemerkasaan Sekolah Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan sebagai medium memupuk kesefahaman antara kaum.

Semangat kebangsaan yang tinggi juga adalah pemangkin integriti kerana maruah sebagai rakyat Malaysia menjadi keutamaan untuk melakukan yang terbaik. Ia akan mengurangkan pergeseran akibat perbezaan ideologi politik, agama serta budaya dalam kalangan masyarakat.

Demi masa depan anak cucu kita di negara bertuah ini, semua lapisan masyarakat serta parti politik digesa supaya menyokong usaha Perpaduan Negara bersama kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negara ini.

MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *