Rakyat sandarkan pada kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin untuk terajui negara, selesaikan masalah mereka – Ronald

KUALA LUMPUR 2 Mac – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hari ini genap setahun memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menguruskan pelbagai isu negara terutama pandemik Covid-19, kebajikan rakyat serta ekonomi, secara langsung meyakinkan rakyat bahawa  Muhyiddin adalah pilihan yang tepat sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan itu, kata beliau, walaupun pembentukan kerajaan PN bukanlah selepas diadakan pilihan raya seperti biasa tetapi berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, namun rakyat kini lebih yakin dan menyandarkan sepenuhnya kepada Muhyiddin untuk memimpin negara dan menyelesaikan pelbagai isu.

Bagi menangani situasi semasa ekonomi dan meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat, kerajaan pimpinan Muhyiddin juga memperkenalkan pakej-pakej rangsangan ekonomi termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion.

Ia bertujuan menangani impak Covid-19 dan memastikan rakyat dapat meneruskan kelangsungan punca pendapatan dan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

Perdana Menteri juga mengumumkan 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA. Daripada jumlah ini, sebanyak RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.

Yang terbaharu, Muhyiddin mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia atau PERMAI. Secara kasar, pakej ini menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.

Sebanyak 22 inisiatif disenaraikan di bawah PERMAI dengan tiga objektif utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan. Seluruh inisiatif di dalam PERMAI bernilai RM15 bilion.

“Tan Sri Muhyiddin (Abah) sentiasa tenang dalam berhadapan pelbagai konflik termasuk desakan politik daripada pembangkang.

“Beliau juga dilihat sentiasa fokus dalam menyelesaikan isu-isu rakyat. Dengan kata lain, khidmat beliau adalah untuk rakyat dan bukan mengejar cita-cita politik diri,” katanya.

Di samping itu, kata Ronald, langkah kerajaan memberikan vaksin Covid-19 secara percuma yang melibatkan peruntukan amat besar juga memperlihatkan kerajaan PN mengutamakan kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

“Semua yang dilakukan Perdana Menteri ini meyakinkan bahawa rakyat akan memberi mandat yang lebih kukuh kepada beliau untuk terus memimpin negara,’’ katanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *