Mesti sentiasa bersedia untuk bersemuka dengan rakyat dan berhujah dengan pembangkang.
Itulah jawapan tepat dan munasabah apabila kalangan ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ditanya mengenai hala tuju, persiapan, kemampuan dan pelbagai soalan lain mengenai parti.
Yang pasti sejak mengambilalih pentadbiran negara yang kini dipimpin serta diketuai oleh Perdana Menteri yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti BERSATU serta gabungan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) berterusan memberi khidmat kepada rakyat.
Setiap khidmat itu bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat sama ada melibatkan soal kesihatan akibat pandemik Covid-19, ekonomi atau apa jua masalah yabg rakyat hadapi.
Bukti yang jelas diberikan melalui pakej rangsangan ekonomi, peruntukan besar untuk kesihatan awam, pendidikan dan pelbagai lagi. Kerajaan ini tidak pernah letih mencari dan menyediakan sumber untuk membantu rakyat.
Rungutan rakyat mahupun pembangkang telah dijawab oleh kepemimpinan Muhyiddin melalui pakej-pakej serta bajet berbilion ringgit. Ia bertujuan menyelesaikan masalah dihadapi.
Jawapan kita bukan sahaja dalam bentuk ayat-ayat penerangan, tetapi juga dalam bentuk pelaksanaan. Dalam kata lain, kita berdakwah bukan saja dalam bentuk lisan, tetapi jauh lebih banyak dakwah dalam bentuk amal.
Namun tidak dinafikan apa jua usaha yang dilakukan oleh kerajaan PN, masih terdapat suara-suara sumbang atau desakan politik pembangkang yang cuba menggugat kerajaan PN.
Desakan dan cubaan menggugat kerajaan itu seolah-olah ‘bermusim’. Sekejap muncul, sebelum hilang dan muncul semula.
Desakan itu akan hilang setelah terjawab apabila kerajaan memberi jawapan melalui program atau pakej rangsangan yang diperkenalkan hingga ia mengujakan serta menyakinkan rakyat.
Namun apabila usaha untuk menggugat pentadbiran itu gagal, pihak terbabit akan cuba memanipulasikan isu lain atau sampingan dengan harapan kerajaan yang ada sekarang akan tergugat. Itulah yang mereka lakukan tanpa kesudahan.
Bagaimanapun usaha mereka gagal dan Tan Sri Muhyiddin dilihat sentiasa tenang menghadapi apa juga cabaran. Fokus Tan Sri Muhyiddin ialah prihatin rakyat. Beliau tidak berganjak walau diasak.
Rakyat kini semakin yakin dengan pentadbiran Perikatan Nasional. Maka bagaimana pula keyakinan ahli-ahli BERSATU terhadap parti sendiri?
Rakyat dilihat yakin serta puas hati dengan khidmat serta pakej-pakej rangsangan ekonomi untuk mereka.
Kita juga tidak nafikan ada kalangan ahli-ahli BERSATU yang sedikit sebanyak terpengaruh apabila ada pihak mengadu-domba mengenai ‘kelemahan’ BERSATU. Ini secara langsung boleh menggugat keyakinan ahli-ahli terhadap parti. Perkara ini perlu kita perbetulkan.
Memasuki fasa baharu, Penerangan BERSATU kini mula bersemuka dengan ahli-ahli sama ada di peringkat bahagian, cawangan, Armada, dan Srikandi. Kita perlu hidupkan jentera Penerangan parti agar maklumat yang tepat boleh kita sampaikan.
Pertemuan pertama telah berlangsung di Kedah. Jentera Penerangan seluruh Kedah dihimpunkan pada Sabtu 13 Mac 2021 untuk satu program Dialog Penerangan BERSATU, membincangkan pelbagai isu parti dan negara. Dialog Penerangan peringkat negeri Perak pula ialah pada Ahad 14 Mac 2021.
Langkah permulaan ini saya harap dapat mengerat, memperkuat serta mempertingkat kerjasama antara Penerangan Pusat, Negeri, Bahagian, dan sayap-sayap selain memberi pemahaman lebih jelas kepada ahli-ahli mengenai isu-isu semasa dan cabaran politik hari ini.
Bermula di Kedah, kemudian ke Perak, dan selepas itu Dialog Penerangan BERSATU akan pergi pula ke negeri-negeri lain.
Selepas Dialog Penerangan Kedah, saya dihubungi oleh wartawan dan beberapa penganalisa politik. Selepas melihat saya sendiri turun ke padang, mereka bertanya adakah ini petanda hampirnya PRU-15?
Saya jelaskan bahawa semboyan itu telah dilaungkan oleh Presiden parti Tan Sri Muhyiddin sejak September 2020 lagi. Dalam majlis sambutan ulang tahun ke-empat BERSATU, Tan Sri Muhyiddin mengarahkan seluruh jentera parti bersedia untuk pilihan raya pada bila-bila masa.
Kita mesti sambut seruan itu. Kita persediakan parti kita. Kita santuni rakyat dan jelaskan mesej kita. Semua ini mesti kita lakukan bersungguh-sungguh untuk memastikan kejayaan