Pengasingan kuasa dalam PDRM bukan isu

Pada 2 Mei 2019, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu telah mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) memperkenankan pelantikan secara kontrak selepas bersara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara (KPN) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Pelantikan ini dibuat selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa pelantikan bagi menyandang jawatan ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor SPP dan bahawa sebelum bertindak atas syor SPP, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat Perdana Menteri, dan boleh merujukkan syor itu balik satu kali kepada SPP untuk ditimbangkan semula.

Walaupun banyak kritikan yang dilontarkan ke atas beliau sepanjang melaksanakan tugasnya sebagai KPN, termasuklah ketidakpuasan hati banyak pihak ke atas kegagalan beliau membawa balik Jho Low untuk dihadapkan ke muka pengadilan di Malaysia, namun segala-galanya kelihatan berjalan lancar buat Abdul Hamid yang tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berbentuk kontroversi.

Malah, di sebalik jangkaan bahawa kontrak Abdul Hamid selaku KPN akan ditamatkan lebih awal bila berlakunya pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020, ini tidak berlaku, sebaliknya beliau, yang pernah menyatakan ketaatsetian beliau kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, dikekalkan, sekali gus membuktikan tiada campur tangan politik wujud dalam pasukan polis.

Begitu pun, pada 18 Mac 2021, kurang dua bulan menjelang kontrak beliau berakhir, secara tiba-tiba Abdul Hamid mendedahkan dalam program Sinar Live bersama beliau mengenai wujudnya gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda yang mendalangi kartel yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka yang bercita-cita untuk menjatuhkan beliau.

Lebih menggemparkan apabila Abdul Hamid, dalam sidang media beliau pada 30 April 2021 mendakwa bahawa beliau menentukan siapa daripada pegawai polis yang boleh dan sesuai dilantik ke jawatan-jawatan tertentu kerana beliau “bergelumang setiap hari dengan pasukan polis” tetapi Menteri Dalam Negeri, yang dikatakan sibuk dengan pelbagai jabatan lain, tidak mempunyai masa dan kemampuan untuk berbuat demikian.

Lebih jauh lagi, Abdul Hamid juga menyatakan kekesalan beliau kerana SPP dikatakan tidak berfungsi dengan baik, di mana pejabat SPP pun dikatakan tidak wujud. Begitu juga dengan Pengerusi SPP yang disarankan supaya dilantik bukan dari kalangan Menteri kerana Menteri dikatakan akan membawa unsur-unsur politik berbanding seorang bekas Ketua Hakim dan seorang bekas Hakim.

Pada masa sama, Abdul Hamid tidak menyatakan bahawa unsur-unsur politik sudah berlaku dalam pasukan polis, tetapi beliau hanya bimbang ini boleh berlaku, di mana, di dalam kata-kata beliau, “yang saya takut ni besok akan berlakulah yang mana PDRM ni akan digunakan untuk nak ‘serve’ dia punya ‘political interest’ (kepentingan politik) dia”.

Hanya setelah kontrak beliau tamat, iaitu pada 4 Mei 2021, barulah Abdul Hamid mendakwa Jabatan Cawangan Khas (JCK) Bukit Aman pernah diminta untuk menjalankan operasi yang tiada kena mengena dengan isu berkaitan urusan keselamatan negara tetapi arahan tersebut didakwa enggan dilakukan oleh jabatan berkenaan.

Ekoran dakwaan-dakwaan ini maka muncullah suara-suara yang mengutuk kewujudan campur tangan politik dalam pasukan polis, disusuli dengan seruan supaya dilakukan pemisahan kuasa antara politik dan pasukan polis khususnya melalui pelantikan Pengerusi SPP bukan dari kalangan Menteri.

Turut menjadi tumpuan adalah tuduhan liar tanpa bukti Abdul Hamid bahawa “dalam politik rasuah berlaku merata-rata tempat”, “mabuk kuasa, sanggup melakukan perbuatan membeli sana, mengugut orang ini, mengugut”, “sekejap katak lompat sana, sekejap katak berbunyi sana” yang disertai seruan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasatnya.

Sebenarnya, tidak sukar untuk difahami motif mengapa kesemua perkara ini dibangkitkan hanya setelah tempoh kontrak Abdul Hamid hampir berakhir, malah sudah ramai yang menyatakan bahawa ia awalnya adalah satu cubaan untuk melanjutkan tempoh kontrak, tetapi bila ini gagal ia bertukar menjadi tidak lebih daripada satu cubaan untuk melepaskan geram semata-mata.

Jika masalah-masalah seperti yang dinyatakan ini memang wujud, ia sepatutnya disuarakan jauh lebih awal lagi, termasuk sewaktu PH masih memerintah, melalui pelbagai saluran yang ada, termasuklah melalui SPP dan pada akhirnya terus kepada Yang di-Pertuan Agong selaku pihak yang melantik beliau.

Malah jika diteliti kepada Ceraian 4(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, perlakuan sebegini mungkin boleh dihujahkan sebagai termasuk di dalam larangan untuk seseorang pegawai awam supaya tidak:
(a) Membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan persendiriannya.
(b) Berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas awamnya;
(c) Berkelakuan dengan apa-apa cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa: (i) dia telah membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas awamnya hingga menjejaskan kegunaannya sebagai seorang pegawai awam; atau (ii) dia telah menggunakan kedudukan awamnya bagi faedahnya sendiri;
(d) Berkelakuan dengan sedemikian cara hingga memburukkan nama atau mencemarkan nama perkhidmatan awam.

Sesungguhnya cubaan untuk memenuhi kepentingan persendirian, khususnya untuk melanjutkan tempoh kontrak atau melepaskan geram bila kontrak tidak dilanjutkan, hingga sanggup memburukkan nama atau mencemarkan nama pasukan polis, jika benar wujud, adalah satu perlakuan yang amat tidak beretika, apa lagi bila ia dilakukan oleh ketua pasukan itu sendiri.

Lebih-lebih lagi bila perkara yang ditimbulkan ini adalah bercanggah dengan peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Akta Polis 1967 (Akta 344) dan Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana jelas dinyatakan di dalam Seksyen 4 (1) Akta Polis 1967 bahawa pasukan polis hendaklah di bawah perintah Ketua Polis Negara yang adalah seorang pegawai polis dan hendaklah bertanggungjawab kepada Menteri bagi kawalan dan arahan pasukan. Tiada kekaburan di sini bahawa kawalan dan arahan pasukan polis adalah berada di dalam tangan Menteri Dalam Negeri yang menyalurkannya melalui Ketua Polis Negara.

Begitu juga dengan peruntukan Perkara 140 (1) dan 140 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “pelantikan, pengesahan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran dan penjalanan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis” adalah berada di bawah tanggungjawab SPP yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri.

Hanya pihak yang kurang faham dengan konsep pengasingan kuasa sahaja yang mahu memisahkan pasukan polis, mahupun penjawat awam lain, daripada politik kerana yang dimaksudkan dengan konsep pengasingan kuasa itu adalah pemisahan badan-badan perundangan, kehakiman dan eksekutif sahaja tetapi jika badan eksekutif itu sendiri hendak dipisahkan lagi maka akan huru-haralah pentadbiran sesebuah negara.

Sebab itulah di negara jiran Singapura sekalipun Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong, boleh menyatakan dengan tegas bahawa perkhidmatan awam adalah tidak bebas daripada kerajaan yang dipilih (not independent of the elected government) malah ia mesti berkhidmat kepada kerajaan yang dipilih pada sesuatu waktu (must serve the elected government of the day).

Sebab itulah juga Manifesto PH dalam PRU 15 sekali pun, melalui Janji 20-nya bertajuk “Menjadikan ATM dan pasukan PDRM sebagai sebuah pasukan yang dihormati dan disegani”, langsung tidak memperkatakan mengenai hasrat untuk menjadikan Pengerusi SPP ini dipengerusikan bukan oleh Menteri dari parti yang memerintah.

Lalu bila orang politik (Menteri) hanya melaksanakan tanggungjawab beliau menjadi Pengerusi SPP yang sudah sekian lama digariskan di dalam Akta dan Perlembagaan Persekutuan, mengapa pula kini ia dinyatakan sebagai campur-tangan politik?

Dan apa sebenarnya keperluan untuk menghebohkan bahawa jawatan Pengerusi SPP ini (tetapi bukan jawatan Pengerusi Majlis Angkatan Tentera) hendaklah dipengerusikan bukan oleh orang politik (Menteri) sedangkan ia telah berjalan sekian lama dan tidak pernah dipertikaikan pun sebelum ini?

DR. KAMARUL ZAMAN YUSOFF
Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan
dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *