Celoteh: Najib, berhentilah merungut

Seperti dijangka Najib Razak merungut selepas saya komen mengenai kesan positif daripada “lockdown”. Dan Asyraf Wajdi sebagai pengikut yang taat, serta merta menyambung rungutan Najib. Ya lah kan. Tauke besar dah bercakap, mesti lah kena sambut.

Dalam komen saya, saya katakan bahawa kita mula melihat kesan positif daripada pengumuman lockdown oleh kerajaan. Tetapi tag-team Najib-Asyraf ini mengubah topik menuduh Tan Sri Muhyiddin tidak mahu lockdown. Padahal Tan Sri Muhyiddin tidak mahu lockdown-yang-meranapkan-ekonomi.

Mereka ni sengaja petik sekerat sekerat untuk ubah topik. Sedangkan kita tahu selepas meneliti data yang terkini dan mencari keseimbangan antara kesihatan dan kesejahteraan ekonomi, lockdown telah diisytiharkan.

Strategi mengubah topik ini sudah menjadi kebiasaan #klustermerungut. Tidak sukar kita fahami kenapa Najib Razak sebagai “ketua perungut kebangsaan” perlu sentiasa mengubah topik.

Najib perlu rakyat lupa gelaran “Plundering Idiot” yang dianugerahkan media antarabangsa kepada dia. Najib perlu rakyat lupa dia telah didapati BERSALAH oleh mahkamah dan sekarang terpaksa merayu. Strategi yang Najib gunakan ialah dengan merungut tuduh orang lain buruk, dengan harapan rakyat lupa keburukan dia.

Kerajaan Perikatan Nasional perlu terus mara ke hadapan. Tumpuan mesti dipasakkan kepada pengurusan COVID-19, terutama dalam menyeimbangkan tuntutan kesihatan dengan tuntutan ekonomi rakyat.

Bercakap mengenai mencari keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi, amat penting untuk kerajaan membuat keputusan berdasarkan fakta terkini. Fakta berubah-ubah hampir setiap hari. Kalau beberapa hari lepas bilangan kes baru tinggi, hari ini bilangan kes baru rendah pula. Kalau beberapa bulan lepas virus ini belum bermutasi, hari ini dah ada varian baru pula.

Sudah semestinya kita mahu kerajaan yang cakna dan membuat keputusan berdasarkan data dan fakta terkini. Jika sebelum ini kita tidak mahu adakan sekatan, mungkin ada masa nanti kita berubah pandangan dan mahukan sekatan ketat pula sebab fakta berubah. Jika sebelum ini SOP ketat, mungkin kita akan berubah dan mahukan kelonggaran sebab data pada masa itu sudah berbeza.

Sebagai rakyat, kita mahu kebebasan kita dikembalikan secepat mungkin supaya kita boleh terus mencari rezeki untuk diri dan keluarga. Kerajaan pula mahu pastikan wabak tidak semakin buruk dengan cara mengarahkan sekatan di sana sini. Dalam mencari keseimbangan ini, ada masa keputusan memihak kepada kebebasan individu, ada masa kepada sekatan kerajaan, dan ada masa ia berubah-ubah. Memang itu yang sewajarnya.

Perubahan proses dan peraturan bukan masalah. Yang masalah ialah jika tidak ada apa-apa yang berubah walaupun data baru diperolehi. Sebab ketiadaan perubahan melambangkan kerajaan tidak cakna perubahan suasana yang berlaku. Kalau berubah setelah dapat fakta baru, maka itulah yang sepatutnya.

Bagaimanapun, kita mesti berlaku adil. Kita mesti akui bahawa memang ada beberapa perkara yang sebelum ini kurang koordinasi sehingga menimbulkan kekeliruan.

Saya melihat kerajaan telah terima teguran ini dengan baik dan ada pembaikan yang telah dilakukan. Teruskan dengan keterbukaan ini. Jalan terus!

 

#MENANGBERSAMA

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *