Pas sambut baik langkah Ahli Parlimen UMNO, BN tolak undi tidak percaya terhadap kerajaan

KUALA LUMPUR 24 Jun – Pas menyambut baik langkah yang diambil oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menyatakan persetujuan untuk tidak menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan oleh mana-mana pihak terhadap kerajaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Secara langsung, persetujuan yang diambil itu turut memperlihat serta menggambarkan keteguhan muafakat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya berharap harap semua parti yang mendukung kerajaan kini dapat bertindak selari dengan keputusan yang diambil oleh kerajaan.

“Pas menyambut baik langkah yang diambil oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN,  yang menggambarkan keteguhan muafakat mendukung kerajaan PN.

“Kita harap semua parti yang mendukung kerajaan kini dapat bertindak selari dengan keputusan yang diambil oleh kerajaan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan semua Ahli Parlimen UMNO dan BN menyatakan persetujuan untuk tidak menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan oleh mana-mana pihak.

Di samping itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas juga mendukung Pelan Pemulihan Negara sebaga imana yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, Pas juga akan menggerakkan seluruh jentera parti bagi membantu kempen Imunisasi Kebangsaan.

“Langkah kerajaan itu adalah satu keputusan yang wajar bagi meredakan suhu politik dengan memberi fokus kepada penyelesaian masalah rakyat dengan pelbagai langkah segera.

“Di saat pandemik Covid-19 yang masih menjadi ancaman, bukanlah masa sesuai untuk berpolimik dengan isu yang tidak membantu Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *