Malaysia negara gagal kerana COVID-19? Menteri ulas laporan Bloomberg

KUALA LUMPUR, 11 Jul — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyifatkan dakwaan bahawa Malaysia menuju ke arah menjadi sebuah negara gagal, sebagai satu ‘kekeliruan’.

Mohd Redzuan, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata negara ini jauh daripada kegagalan kerana ia mempunyai sistem yang berfungsi.

“Kita masih mempunyai undang-undang dan peraturan, kerajaan dan sistem penyampaiannya masih berfungsi, tidak ada petanda bahawa sistem sedang lumpuh.

“Ya, terdapat banyak cabaran disebabkan COVID-19, terdapat sekatan pergerakan, tetapi masyarakat masih lagi berfungsi,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Beliau mengulas tulisan kolumnis Bloomberg, Daniel Moss yang menyatakan Malaysia mungkin menuju ke arah negara gagal susulan ketidakstabilan politik, salah urus tadbir pandemik COVID-19 dan kebangkitan pergerakan bendera putih.

Mohd Redzuan berkata, biarpun kerajaan bersikap terbuka terhadap sebarang kritikan, namun ia dianggap tidak adil untuk memilih maklumat tertentu dan terus membuat andaian.

“Di seluruh negara, banyak sumber dikeluarkan dan sektor ekonomi tertentu terus beroperasi. Orang ramai masih bebas keluar membeli barangan keperluan, pergi ke bank dan sebagainya.

“Tidak ada sekatan dalam memberi kritikan terhadap kerajaan. Orang ramai tidak dinafikan hak untuk membuat laporan polis terhadap sesiapa saja, termasuk pemimpin kerajaan.

“Ini tidak akan berlaku di negara gagal atau negara yang menuju ke arah kegagalan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapha Mohamed turut mengulas laporan tersebut bahawa Malaysia bukan sebuah negara gagal malah sistem pentadbiran negara beroperasi dan berfungsi dengan baik.

Katanya, walaupun laporan dikeluarkan itu tidak benar, namun kerajaan bersikap terbuka dengan mengambil kira pandangan semua pihak dalam usaha meletakkan negara pada kedudukan yang terbaik.

“Ada dakwaan daripada laporan Bloomberg mengatakan Malaysia sebuah negara gagal. Jika benar Malaysia gagal, semua sistem institusi lumpuh termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Pentadbiran kita beroperasi seperti biasa sama ada Bank Negara, mahkamah, institusi swasta dan kerajaan. Malah, Ahli Parlimen masih bekerja seperti biasa dan turun padang walaupun Parlimen tidak bersidang,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *