“Perkenalkan subsidi bersasar insuran bencana atau perluaskan Perlindungan Tenang”

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Kerajaan dicadang memperkenalkan subsidi bersasar skim insuran bencana banjir untuk golongan B40 dan M40, termasuk pelindungan untuk kebakaran kepada mangsa-mangsa yang terkesan, sebagai langkah mitigasi jangka panjang.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan juga boleh memperluaskan program Baucar Perlindungan Tenang untuk tujuan dan kumpulan sasaran ini.

“Perlindungan insuran penting kerana ia akan memberikan perlindungan kewangan kepada rakyat apabila bencana luar jangka seperti banjir dan kebakaran berlaku.

“Setahu saya memang ada syarikat insuran dan takaful tawarkan perlindungan untuk banjir dan kebakaran sekarang ini, tetapi “awareness” di kalangan rakyat masih rendah. Dan ramai juga yang tidak mampu untuk membelinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, kajian oleh syarikat Zurich Malaysia mendapati 74 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai perlindungan insuran untuk banjir, manakala 59 peratus tiada insuran kebakaran.

“Ini peratusan amat tinggi dan perlu ditangani,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau dimaklumkan ada skim perlindungan banjir yang berharga kurang RM90 setahun untuk pakej asas.

“Mungkin kerajaan boleh beri subsidi RM50 secara one off dalam bentuk baucar sebagai galakan atau perluaskan baucar Perlindungan Tenang untuk tujuan ini.

“Syarikat insuran pula mestilah bersaing di pasaran terbuka untuk memberi harga dan perlindungan yang paling kompetitif untuk rakyat. Jangan pula ini dijadikan peluang untuk mewujudkan monopoli,” jelasnya.

Ini kerana, katanya, subsidi itu bertujuan untuk mencapai dua perkara iaitu membantu mereka yang tidak mampu dan sebagai mekanisme mempertingkat kesedaran mengenai kepentingan insuran dan takaful.

“Saya sedar ini tidak akan dapat membantu semua mereka yang terkesan sekarang. Tetapi, paling tidak pun ia akan dapat mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung jika bencana berlaku lagi di masa hadapan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Wan Saiful melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah mengumumkan beberapa bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Jumlah Bantuan Wang Ihsan dinaikkan, peruntukan RM100 juta disediakan untuk memperbaiki infrastruktur awam yang rosak, bantuan disediakan untuk peniaga kecil, dan ada juga beberapa pakej bantuan lain daripada pelbagai agensi telah diumumkan.

“Semua bantuan yang diumumkan oleh YAB Dato Seri Ismail Sabri ini sudah pasti sedikit sebanyak akan membantu rakyat membina semula kehidupan selepas bencana. Terima kasih YAB PM!

“Kos yang terpaksa ditanggung oleh mangsa sudah pasti amat tinggi. Bukan saja kos pembersihan rumah, tapi mereka juga terpaksa membeli semula semua perabot dan perkakasan rumah. Ada yang perlu buat semula “wiring” hingga seluruh rumah. Saya tak dapat bayangkan betapa sukar cabaran yang mereka hadapi,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *