Bilik-bilik utama sekolah bakal ditempatkan di tingkat atas elak terjejas banjir

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Kementerian Pendidikan sedang melihat untuk membuat satu ketetapan khusus supaya bilik-bilik utama di sekolah ditempatkan di tingkat atas bangunan.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perkara itu penting bagi memastikan bilik-bilik berkenaan tidak terjejas sekiranya dilanda bencana banjir.

Beliau berkata, bilik-bilik utama itu seperti pejabat pentadbiran, bilik guru, komputer dan bilik buku teks.

“Ini mengambil kira kejadian banjir yang berlaku di luar jangkaan kali ini. Dalam banjir kali ini, banyak sekolah yang belum pernah dilanda banjir dinaiki air,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Katanya, pagi ini beliau ke Bentong, Pahang untuk bersama dalam gotong-royong membersihkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bentong yang terjejas akibat bencana itu.

Beliau difahamkan, ini kali pertama SMK Bentong ditenggelami banjir di mana paras air hampir mencecah tingkat dua.

“Fasiliti sekolah terjejas teruk. Keseluruhan perabot dan kelengkapan sekolah bagi bilik-bilik yang terletak di tingkat bawah mengalami kerosakan teruk, termasuk bilik guru dan bilik komputer. KPM akan memastikan penyelenggaraan infrastruktur serta penggantian perabot dan kelengkapan dapat dilaksanakan segera,” katanya.

 

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *