Perkara sebegini pun nak dijadikan isu? Wan Saiful tegur Kit Siang

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang digesa berhenti memainkan isu kaum dan agama di saat musibah banjir melanda negara berhubung ketiadaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Minum Petang Krismas, baru-baru ini.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ini kerana penganjur majlis tersebut tidak memberi komen negatif sedangkan DAP pula cuma mengambil kesempatan di atas isu terbabit.

“Perkara sebegini pun nak dijadikan isu? Tak bolehkah DAP berhenti menjadi parti chauvinis yang suka mainkan isu kaum dan agama?

“Lim Kit Siang tidak perlu memainkan sentimen sebegini di saat musibah melanda. Penganjur pun tak ada yang bagi komen negatif tapi DAP pula yang pipi tersorong-sorong ambil kesempatan.

“Saya tak faham kenapa DAP timbulkan isu perkauman dalam waktu sekarang. Pada waktu ini kita lihat rakyat tanpa mengira bangsa dan agama berganding bahu membantu mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kit Siang dalam posting di blognya mengkritik ketiadaan Ismail Sabri dalam Majlis Minum Petang Krismas sekaligus menunjukkan kegagalannya untuk menunjukkan dirinya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan kegagalan slogan Keluarga Malaysia untuk menjadi sebuah keluarga yang inklusif tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful mempersoalkan pendirian DAP yang tidak memberi reaksi mengenai perpaduan yang dapat dilihat dalam misi bantuan banjir.

“Perpaduan yang kita dapat lihat dalam misi bantuan banjir, DAP tak nak komen pula?

“Lebih elok pemimpin DAP diam saja daripada sengaja nak pecah belahkan keharmonian negara,” katanya.

 

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *