Ramai ingat air hanya naik sedikit sebabkan terperangkap

SHAH ALAM, 28 Dis – Banjir besar di Selangor merupakan bencana tidak dijangka yang menyebabkan negara berada dalam keadaan terpinga-pinga.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Mohd Rafiq Mohd Abdullah berkata, ia menjadi pengalaman unik dan pertama kali berlaku kepada mereka.

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka mempunyai pengalaman dilanda banjir tetapi tidak seteruk kali ini.

“Apabila guna perkataan bencana ia bermakna kita tidak bersedia kerana berlaku tanpa diduga menyebabkan berada dalam keadaan terpinga-pinga apabila sesuatu itu berlaku.

“Kita bersyukur di Malaysia antara bencana yang dapat adalah banjir besar dan tanah runtuh tetapi tidaklah sehebat apa yang berlaku di negara lain.

“Sebaliknya pengalaman yang dilalui oleh rakyat Selangor yang dilanda bencana banjir ini adalah pengalaman yang unik dan pertama kali berlaku kepada mereka, rata-rata ingatkan hanya naik sedikit menyebabkan mereka terperangkap di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Berani Semuka, yang bertajuk Bencana Alam, Adakah Malaysia Bersedia? pada pada Isnin.

Turut menjadi panel, Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Faiz Fadzil dan Ahmad Fahmi Mohd Samsudin yang bertindak sebagai moderator.

Mohd Rafiq berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hanya bertindak sebagai penyelia dan pengurus bencana sahaja.

Menurut beliau, mereka tidak mempunyai aset-aset tertentu untuk menangani banjir secara khusus sebaliknya agensi kerajaan di bawah Nadma.

“Apabila jadinya bencana, Nadma terus campur tangan menguruskan semua agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela, Bomba dan Polis.

“Apa yang berlaku kali ini adalah kesemua aset-aset kita yang ada telah diletakkan di negeri yang kita jangka berlaku banjir kesemua aset-aset kita berada di Pantai Timur kerana Nadma beranggapan hujung bulan 12 akan berlaku banjir besar di Kelantan dan Terengganu.

“Sebaliknya apa yang berlaku untuk pertama kalinya Selangor dilanda banjir yang sangat besar menyebabkan Nadma terpaksa mengalihkan dan membawa semula aset-aset bantuan daripada negeri Pantai Timur datang ke Selangor dalam keadaan banyak dinaiki air dan jalan terputus,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, cabaran yang utama adalah untuk kerajaan memperbaiki menghadapi bencana kerana ia merupakan satu situasi yang tidak diduga.

“Mana-mana negeri menghadapi benda ini memerlukan masa untuk strategikan kaedah yang boleh diguna pakai untuk memulakan usaha menyelamat, membantu mangsa-mangsa banjir.

“Ini bukan sahaja pernah berlaku di Selangor, Pulau Pinang pernah berlaku bagaimana mencabarnya negeri ini untuk menghadapi benda itu,

“Dalam menghadapi banjir apa yang paling penting yang saya perlu tegaskan ialah bagaimana usaha sama antara semua pihak tidak kira pembangkang dan kerajaan negeri, fokus seharusnya membantu rakyat yang terjejas akibat bencana yang berlaku itu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rafiq berkata, negara perlu melalui tiga fasa dalam menguruskan bencana bermula dari daerah, negeri dan pusat.

Ujarnya, fasa pertama bencana perlu diuruskan oleh Pegawai Daerah (DO) itu sendiri, sekiranya gagal baru melibatkan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri itu sendiri yang akan menguruskan bencana banjir melalui jawatankuasa pengurusan bencana negeri yang kebiasaannya akan dipengerusikan oleh Menteri Besar dan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang mengurus bencana itu sendiri.

“Masuk kepada fasa tiga apabila kerajaan negeri sudah tidak mampu untuk menangani bencana itu sendiri maka, pada ketika itu kita memerlukan bantuan daripada kerajaan Pusat untuk campur tangan dan membantu menggerakkan segala aset yang ada.

“Kita sebut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), Polis di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), tentera di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (KPM), Bomba di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan kementerian yang lain .

“NADMA menjadi moderator untuk menguruskan kesemua jabatan-jabatan atau agensi yang ada untuk menggembleng bersama menguruskan banjir,” kata Mohd Rafiq.

Selain itu, beliau berkata, rakyat perlu mengubah pemikiran untuk tidak menyalahkan sesiapa sekiranya bencana berlaku.

“Apabila berlaku bencana, ‘political will’ tidak sebut dah, ‘political game’ perlu dihentikan sebaliknya yang menjadi keutamaan bagaimana kita mengambil sikap menangani bencana itu.

“Saya boleh setuju, kita agak terlewat kerana tidak jangka berlaku di Selangor, aset-aset perlu dipindahkan semula kalau fasa dua berlaku bencana di Kelantan dan Terengganu.Kkita kena ada satu strategi lain pula untuk bantu rakyat di sana,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *