`Terima kasih Abah kerana memimpin rakyat, negara’ – Wan Saiful

KUALA LUMPUR 1 Mac – Terima kasih kerana memimpin rakyat serta negara ini ketika Malaysia berhadapan pelbagai isu dan syukur juga kerana setiap usaha Tan Sri Muhyiddin Yassin (Abah) telah berjaya menangani segala permasalahan dalam keadaan tenang, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Menurut Wan Saiful, langkah Abah mengambilalih kepemimpinan negara sejak setahun lalu memang tepat pada masanya apabila negara dan rakyat dilanda pelbagai masalah termasuk Covid-19, ekonomi dan isu-isu  lain seperti desakan politik.

Jelasnya, Abah  mengambilalih kepemimpinan negara atas dasar tanggungjawab untuk bersama rakyat untuk menyelesaikan masalah-masalah terutama Covid-19.

Sehubungan itu, katanya, kini rakyat melihat bahawa kehadiran Abah adalah semata-mata untuk membantu meringankan bebanan rakyat walaupun dalam keadaan sukar.

“Syukur  Alhamdulillah, setahun berlalu, rakyat melihat dan sedar inilah kemampuan Abah menangani serta menyelesaikan isu-isu berbangkit.

“Kini segalanya sudah terbukti, isu-isu berbangkit satu persatu berjaya diselesaikan. Pandemik Covid, kini negara kita sudah menerima vaksin untuk rakyat.

“Walaupun Abah diasak oleh pelbagai pihak demi kepentingan politik, namun beliau tetap tenang. Itulah keperibadian Tan Sri Muhyiddin.

“Akhirnya rakyat sedar dan melihat sendiri kesungguhan Abah untuk berkhidmat demi rakyat. Walaupun Abah tidak dapat bertemu bersemuka secara kerap dengan rakyat, namun beliau berjaya menyelesaikan segala isu tanpa mencari populariti atau publisiti besar-besaran.

“Saya sendiri, dan saya yakin seluruh rakyat juga ucapkan terima kasih Abah… terima kasih Abah,’’ kata Wan Saiful.

Di samping itu, Wan Saiful berkata, beliau banyak  belajar dari corak kepemimpinan Abah iaitu berkhidmat demi rakyat dan bukan untuk diri  sendiri.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *